Showing posts with label Random. Show all posts
Showing posts with label Random. Show all posts

21 December 2015

Memikirkan Kejadian Kumbang Dengung dan Lebah Madu

Sekarang ni sedang menelaah buku "Belajar Berfikir". Payah bebenor bila dah tua-tua ni baru nak belajar berfikir! Hahaha...

Ok, entry ni bukan nak buat ulasan buku ni tau. Ulasannya kita simpan untuk blog Buku Eton nanti ya. Sebenarnya, sewaktu sedang asyik membaca, terjumpa satu info menarik iatu "bumble bee syndrome". Cuba tengok petikan dalam Gambar 1.

Gambar 1
Fenomena ini dikaitkan dengan penciptaan-penciptaan oleh mereka yang bukan pakar dalam bidang tersebut namun hasil penemuan tersebut merubah dunia. Antara contohnya ialah kapal selam praktikal yang pertama di dunia dicipta oleh seorang guru, mesin pencuci vakum direka oleh seorang pembuat jambatan dan seorang peguam English pula mencipta mesin penyemai benih gandum.

Hmm..dari situ mula mencari makna bumble bee. Jadi, penemuannya ialah:

  • Bumble bee: Robot dalam filem Transformers (rasanya ni yang paling orang kenal!)
  • Chevrolet Camaro: Robot bumble bee dalam bentuk kereta.
  • Bumble bee project - NVIDIA Optimus technology for LINUX: Projek ni berkaitan pembangunan sistem sokongan nVidia bagi meningkatkan kualiti bateri laptop yang guna Intel i3/i5/i7.
  • Bumble bee is not a honey bee: Baru tahu lain-lain spesiesnya.




Kemudian terjumpa pula satu video menarik tentang Tarian Lebah. Ianya menerangkan bagaimana lebah membuat tarian kibas sebagai satu cara komunikasi dengan kawan-kawannya untuk beritahu di mana lokasi makanan berada. Sila saksikan video di bawah.

The waggle dance of the honeybee.

Bila dirisik-risik dalam terjemahan Al-Quran, terjumpalah ayat 68 dan 69 dalam surah Lebah (An-Nahl) :


"Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat yang dibikin manusia.Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. Dari perut lebah itu keluar minuman yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat obat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang mahu berfikir." [QS. An-Nahl : 69]

Perhatikan ayat terakhir; "terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang mahu berfikir". Dalam video di atas, kita sedar bahawa hasil daripada tindakan berfikir para penyelidik, maka Allah kurniakan mereka kefahaman terhadap perlakuan lebah tersebut. Lalu saya menilai semula diri, "Adakah aku cukup berfikir selama ini? Apakah betul setiap yang aku fikirkan? Sejauh mana pemikiranku mendekatkan diriku pada Allah, penciptaku?"

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka". [QS. Al-Imran : 190-191]


"Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka" 


06 December 2015

Minda Mangsa - Victim Mentality

Saya tidak semenjak bila ia bermula, tapi dalam 6 bulan kebelakangan ini ianya terlalu ketara apabila saya sentiasa berasa dibuli, disalaherti dan tidak dinilai selayaknya. Kata-kata saya sentiasa adalah saya telah menjadi mangsa dan merasakan hal tersebut tidak sepatutnya berlaku begitu. Malah, komunikasi saya sentiasa ke arah negatif.. Sehinggalah saya terbaca salah satu post berkaitan 'Minda Mangsa" ataupun victim mentality yang menyebabkan saya tersentak! Oh, inilah yang sedang saya lakukan pada diri sendiri.

Facebook Puan Ainon Mohd

"Minda Mangsa"

Seseorang itu mempunyai 'victim mentality' apabila dia percaya dia gagal akibat telah menjadi mangsa kepada perbuatan jahat orang-orang lain terhadap dirinya.

Apabila kita percaya kita adalah mangsa kepada perbuatan-perbuatan jahat orang lain, maka akibatnya:

  • Kita percaya orang-orang jahat itu yang mesti memberhentikan kejahatan mereka, barulah nanti kita boleh berjaya.
  • Bagi kita, orang-orang jahat itu yang mesti mengubah sikap mereka. Kita sendiri tidak perlu mengubah sikap kita, sebab kita hanyalah mangsa mereka. Hasilnya, kita kekal sebagaimana kita seadanya.
  • Minda mangsa menyebabkan kita berasa serba tak berdaya hendak mengeluarkan diri sendiri daripada kegagalan. Kita perlukan orang lain supaya mengeluarkan kita, tetapi orang lain semua busuk hati terhadap kita!
****************************************************************************


Jadi, bagaimanakah caranya untuk saya mengubah minda mangsa ini? Berikut adalah antara langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi pemikiran tersebut.
  1. Terima tanggungjawab - Hakikatnya kita sendiri yang bertanggungjawab terhadap perasaan, pemikiran dan tindakan kita. Kita ada kawalan terhadap ketiga-tiga perkara tersebut. Kesan psikologi terhadap golongan yang tidak mahu menerima tanggungjawab adalah sangat besar. Kesan utama ialah hilang self-esteem sehingga mereka tidak mampu mengenalpasti kemahiran diri, menolak inisiatif diri, malahan kurang rasa hormat terhadap diri sendiri dan rasa kegagalan akan lebih mudah hadir dalam pemikiran golongan ini.
  2. Ambil pengajaran dan buat perancangan - Eton, kau tak akan membesar, matang dan mekar jika tidak belajar dari kesilapan dan pengalaman. Muhasabah diri dan renungkan semula dari pelbagai sudut atas apa yang telah berlaku. Kemudian kenalpasti, apakah tindakan-tindakan yang perlu ditingkatkan, diperbaiki, dielakkan. Kemudian buat perancangan.
  3. Jadi proaktif - Ambil tindakan untuk mengubah keadaan sekarang. Walau sekecil mana, walaupun sekadar sekelumit, namun jika ada kesan terhadap tindakan itu, maka lakukannya segera. 

21 January 2014

Mengadu Domba

Adu - bertanding utk merebut kemenangan dlm sesuatu perlumbaan, pertandingan dsb.
Domba - sj kambing biri-biri di negeri Arab; kibas.

Saksikan video beradu domba di salah sebuah negeri di Tanah Arab (Amaran: Terdapat paparan yang mungkin mengganggu emosi anda).


Mengadu domba - memperlagakan satu pihak supaya bermusuhan-musuhan dgn pihak yg lain.

"Salah satu di antara 10 golongan yang dikumpulkan di hari Kiamat kelak ialah mereka yang berwajah kera iaitu orang-orang yang ketika di dunia suka mengadu domba di antara manusia".

p/s: kamhar - 1. benang yg dibuat drpd bulu domba, benang bulu; 2. kain yg dibuat drpd benang bulu domba.

20 April 2013

Jelas & Alas

Malam tadi sambil melayan mata sebelum terlelap, otak berputar memainkan semula apa yang berlaku sepanjang hari. Bergolek-golek, berguling-guling...

Tiba-tiba encik otak bertanya soalan cepumas kepada cik minda, "Apa bezanya antara memberi penjelasan dan memberi alasan? Kenapa kita lebih mengharapkan orang menberikan penjelasan kepada kita dan bukannya alasan? Bukankah kedua-duanya bermaksud memberitahu sebab atau mempertahankan tindakan kita?"

Cik minda tersentak, "Oh hoi! Tricky questions!"

Kata seorang puan koordinator, memberi penjelasan itu lebih sopan daripada memberi alasan. Hmm...
Nampaknya perlu cari maklumat yang lebih lanjut. Maka, bila sahaja kita ada akses internet, pergunakan ia!

Pertamanya: cari makna perkataan: Pusat Rujukan Persuratan Melayu (http://prpm.dbp.gov.my/)
  • Penjelasan:  1. keterangan (yg lebih jelas), huraian; 2. penyelesaian.
  • Alasan: 1. asas, dasar; 2. sebab; 3. yang dijadikan sebagai alas/lapik.
Kedua; Tanya Pokcik Google.
  • Memberi penjelasan bermakna memberi keterangan yang lengkap dan difahami oleh khalayak. 
  • Memberi alasan bermakna ???
Ketiga; Tanya Pokcik Google in English  "difference between explain and excuse".
  • Hasil carian banyak membawa kepada perbincangan mengenai nilai tanggungjawab semasa memberitahu sebab/tindakan.
  • Juga membincangkan "difference between a reason and an excuse". Jadi dalam konteks ini ia melibatkan perbincangan di antara sebab vs alasan.
  • Dai Qian memberikan penjelasan yang ringkas dan menarik berkaitan sebab vs alasan ini dalam blog beliau.   

Tak tahu menari dikatakan lantai jungkang-jungkit.
A bad workman always blames his tools.

It is easier to find an excuse than to find a reason. ~ Doug Brown
An excuse is a skin of a reason stuffed with a lie. ~ Billy Sunday

Jika hanya merujuk kepada kata akar di atas, saya simpulkan seperti ini: memberi penjelasan bermaksud menjelaskan yang kabur, menerangkan yang kelam, menghuraikan yang simpul. Memberi alasan pula bermaksud menutup yang kabur, memadam yang kelam dan menyorokkan yang simpul...setuju? Ada sesiapa boleh berkongsi pendapat yang lebih sesuai? Please..anyone??


28 March 2013

Seroja on Seroja

Kalau tuan mudik ke hulu,
Petikkan saya bunga seroja;
Kalau tuan mati dahulu,
Tunggu saya di pintu syurga.

Waduh-waduh...Setelah 32 tahun, baru saya tahu bunga seroja ialah water lily. Malahan nama lainnya ialah bunga telepok atau bunga padma (rujuk Kamus Dewan). (Perhatian: bunga padma dan bunga pakma (rafflesia)  pula adalah dua spesies bunga yang berbeza. Jangan keliru seperti yang berlaku pada saya sebentar tadi). Masih kurang lagi ilmu tumbuh-tumbuhan saya ini. Selama ini, asal tengok tumbuhan yang berdaun bulat dan berbunga kembang di permukaan air namanya teratai, tidak peduli pun bentuk dan warnanya. Bila dah tahu ni barulah diselidik-selidik dalam internet.



Rupanya teratai dan seroja dua spesies tumbuhan berbeza. Teratai (lotus) hanya terdiri dari dua spesies sahaja manakala seroja (waterlily) hampir 70 spesies. Bila sudah tahu, barulah perasan bahawa teratai yang pernah ditemui setakat ini hanya satu jenis sahaja, iaitu teratai warna merah jambu yang banyak tumbuh di dalam lombong-lombong tinggal di sekitar daerah Kinta (Batu Gajah, Tanjung Tualang, Tronoh, Kampar).  Salah satu ciri yang membezakan di antara dua bunga yang sama tak serupa ini ialah bunga teratai timbul/menjulang keluar dari dalam air manakala seroja pula bunganya terapung di permukaan air. Oleh itu, ada bunga teratai yang berkembang  lebih tinggi dari permukaan air dan kadang kala daunnya juga tumbuh di atas permukaan air kolam/lombong. Jika diperhatikan, bentuk bunga teratai yang mekar adalah umpama sebuah mahkota manakala kelopak seroja yang kembang  pula kelihatan seperti sebuah bintang.


Seroja adalah sejenis bunga yang terdiri dari pelbagai warna. Antara warna bunga seroja yang pernah saya temui ialah  berwarna putih, biru, merah jambu, kuning. Jika teratai dianggap bunga suci bagi penganut Buddha, seroja biru pula dianggap sebagai bunga suci pada zaman Mesir purba. Ini menyebabkan bunga seroja biru banyak ditanam di sekitar kuil-kuil Mesir purba. Malahan ditemui juga ukiran hiroglif dengan motif bunga seroja biru pada tiang-tiang kuil mereka. Kudup bunga seroja akan berputik di dalam air dan pabila kembang ia akan timbul dan terapung di permukaan air.


Satu penemuan yang menarik berkaitan teratai dan seroja ini, ia hanya tumbuh di tempat yang tanahnya subur dan airnya bersih dari sebarang pencemaran. Jika diterjemahkan dalam bahasa sains bermaksud kadar keterlarutan oksigen dalam air adalah tinggi. Maka tumbuhan air ini boleh dijadikan penentu/pengukur tahap pencemaran di sesebuah tasik/kolam.

Salah satu spesies seroja yang terkenal di dunia ialah Victoria Amazonica, seroja gergasi yang hidup subur di hutan hujan Amazon. Daunnya yang lebar boleh membesar sehingga 3 meter lebar dengan batangnya yang tenggelam di dalam air boleh tumbuh sepanjang 7-8 meter.


Allah memberikan kesempatan untuk kita menyaksikan habitat dan proses perkembangan tumbuhan menakjubkan ini menerusi dokumentari yang dirakam oleh David Attenborough seperti yang dipaparkan dalam video di bawah.


Keindahan bunga seroja sering diterjemahkan dalam bentuk kesenian samada puisi, seni lukisan, seni ukiran, lagu, seni arca dan sebagainya. Malah motif seroja turut ditemui diterapkan dalam pelbagai hiasan seharian seperti ukiran awan larat di sekitar rumah dan perabot kayu, ukiran kristal dan hiasan pinggan mangkuk.

Lagu Seroja yang didendangkan oleh S. Effendi pada tahun 70an antara apresiasi estetik bunga seroja yang popular. Lagu ini banyak didendangkan semula, antaranya oleh kumpulan nasyid Al-Jawaher, Jamal Abdillah, Mawi dan juga dibawakan oleh watak Mahar dalam filem hebat, Laskar Pelangi.

~Seroja~

Mari menyusun seroja
Bunga seroja ah... ah...
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja ah... ah...

Rupa yang elok
Di manja jangan dimanja ah... ah...
Puja lah ia oh saja
Sekadar saja

Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Janganlah engkau percaya dengan asmara
Janganlah engkau percaya dengan asmara

Sekarang bukan bermenung zaman bermenung
Sekarang bukan bermenung zaman bermenung
Mari bersama oh adik memetik bunga
Mari bersama oh adik memetik bunga

Mari menyusun seroja
Bunga seroja ah... ah...
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja ah... ah...

Sebelum mengakhiri entry ini, saya ingin berkongsi sebuah artikel yang membuka satu sudut lain pandangan saya tentang teratai. Namun atas kekurangan ilmu tentang perkara ini, tidak wajar rasanya untuk saya ulas. Sila klik di sini untuk membacanya.